September 26, 2013

Kuih Cara Berlauk



Pertama kali teringin sangat mahu buat kuih ini tika terlihat salah satu iklan pengacara TV3, dia buat iklan Planta, ntah lupa dah namanya. Dia buat kuih ini untuk acara berbuka puasa bersama keluarganya.
Selepas tertengok saja iklan itu apalagi ? teruslah cari acuannya !
Acuan bahulu sahaja saya dapat beli, acuan yang betul-betul digunakan untuk buat kuih cara ini, tidak dapat.
Acuan kuih cara sebenarnya agak sama cuma perbezaannya terdapat pada saiz kuih yang lebih besar dari saiz kuih bahulu.

Bila dapat beli, saya cuba buat berdasarkan resepi dari majalah Rasa. Percubaan pertama jadi dengan jayanya ! Senangnya dalam hati bila mencuba sesuatu dan hasilnya sangat membahagiakan.
Bagi saya, bidang masak ini adalah satu terapi yang sangat baik. Bila saya marah, saya masak. Bila saya sedih, saya masak dan bila saya gembira pun, saya masak. Makannnya tidak juga. Kekadang saya masak untuk orang sekeliling saya yang makan. Saya makan seketul pun sudah cukup. :)

Ini acuan yang saya gunakan untuk buat kuih cara berlauk mahupun kuih cara manis.




Banyak jasa acuan ini pada saya. Masuk ribuan biji jugalah acuan ini telah hasilkan kuih. Terima kasih acuanku ! I love you !
Harganya masa saya beli ialah RM28 di Sungai Besar, Sabak Bernam. Acuan ini tak berkarat dan tak melekat bila digunakan. Itu sebab mahal kot !

Oklah, ini dia resepi yang diadaptasi dari buku resepi majalah Rasa keluaran Ogos 2007.
Bolehlah anda mencubanya kalau itu mood rajin datang. Kuang, kuang.


Resepi

Bahan Kuih :

500 gm tepung gandum
1500 ml santan cair
2 biji telur
1 sudu teh serbuk kunyit
Garam secukup rasa

Bahan Inti :

200 gm daging kisar
4 biji bawang merah kisar
4 ulas bawang putih kisar
3 sudu makan rempah kari daging
3 biji bawang besar dipotong dadu
Cili hijau & merah secukupnya untuk hiasan
10 gm bawang goreng ( optional )
5 gm daun sup cincang
Garam & gula secukup rasa
Minyak untuk menumis secukupnya

Cara Memasaknya :

1. Untuk membuat intinya, panaskan sedikit minyak di dalam kuali, tumis bawang putih & bawang merah sehinnga naik bau.
2. Kemudian masukkan rempah kari, kacau hingga pecah minyak.
3. Masukkan pula daging kisar, garam, gula dan bawang besar yang didadu. Tumis hingga pekat dan daging empuk.
4. Selepas itu, tabur bawang goreng & daun sup.
5. Untuk membuat kuihnya, tepung, santan, telur, serbuk kunyit dan garam dimasukkan ke dalam sebuah bekas. bancuh sehingga adunan menjadi cair.
6. Panaskan acuan, sapu minyak sedikit. Tuang sedikit adunan, kemudian isi inti, tuang sedikit lagit adunan sehingga inti tertutup. Hias cili hijau & merah.
7. Bila sudah masak dan warnanya agak keperang-perangan, bolehlah diangkat.
8. Sedia untuk dinikmati.


Selamat Mencuba !




2 comments: